Pemain Red Warriors jadi sukarelawan JKM

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus merintis pembaharuan dalam arena bola sepak tempatan apabila kesemua pemainnya akan didaftarkan sebagai sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendaftaran tersebut akan dibuat sempena Karnival Nada Nadi Komuniti JKM bersama The Red Warriors bertempat di Dataran Warisan Kok Lanas, dekat sini Sabtu ini.

Menurut beliau, pendaftaran tersebut dibuat dengan hasrat memupuk semangat sukarelawan di kalangan para pemain untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan.

"Dalam masa yang sama, KAFA juga mahu The Red Warriors menjadi contoh kepada masyarakat untuk sama-sama melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan ini. Pada hari tersebut, barisan The Red Warriors akan menerima kad perakuan sebagai ahli sukarelawan JKM.

"Kita mahu The Red Warriors menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bukan sahaja mengejar kejuaraan dalam saingan bola sepak tetapi dalam masa yang sama turut memberikan bantuan dan pertolongan kepada golongan yang kurang bernasib baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Karnival Nada Nadi Komuniti JKM bersama The Red Warriors di bilik Gerakan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JKM negeri, Mohd. Noor Chik.

Tambah Annuar, program komuniti bersama masyarakat akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kelapangan pasukan The Red Warriors.

Mengulas mengenai karnival tersebut, Annuar memberitahu skuad Kelantan akan mengagihkan sebanyak 1,000 kampit beras dan beberapa bantuan lain seperti kerusi roda, basikal dan sebagainya kepada golongan tidak bernasib baik.

"Kita juga akan mengadakan pameran berkaitan dengan pasukan dan sekiranya The Red Warriors muncul juara Liga Super, kita akan bawa piala tersebut untuk tontonan umun termasuklah Piala Malaysia dan Sumbangsih," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KAFA akan bekerjasama dengan pasukan Pelita Jaya dari Indonesia untuk mengadakan program yang sama di negara itu tidak lama lagi.

sumber : Utusan Malaysia Online

0 Response to "Pemain Red Warriors jadi sukarelawan JKM"

Post a Comment

Recent Comments

by :

Popular Posts

Popular Posts