Laporan kebelakangan ini menyatakan Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) mungkin kehilangan Hiddink yang berada di kedudukan teratas sebagai calon menggantikan Carlo Ancelotti di Chelsea.
Segelintir media Turki meluahkan kemarahan mereka terhadap Hiddink kerana gagal memberi komitmen kepada negara itu menjelang perlawanan kelayakan Euro 2012 dengan Belgium, esok.
Ejen Hiddink, Cees van Nieuwenhuizen menegaskan bagaimanapun, bekas pengurus Real Madrid itu gembira di Turki dan tidak berhasrat untuk meninggalkan negara itu.
“Dia gembira dengan perlawanan di Brussels kerana masih dalam saingan untuk ke Kejuaraan Eropah,” kata Van Nieuwenhuizen.
“Tiada apa yang berubah. Saya katakan sebelum ini, Guus masih mempunyai kontrak bersama Turki. Dia mempunyai tanggungjawab di sana sehingga kontraknya tamat Jun tahun depan.
“Kami memperkatakannya sejak berminggu lalu. Semua orang membuat cerita sendiri mengenai masa depannya tetapi inilah realitinya,” katanya.
TFF berharap khabar angin membabitkan kepulangan Hiddink ke Chelsea, di mana beliau pernah menjadi pemangku pada 2009 akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu jika mahu terus bersama jurulatih berkenaan.
Setiap peluang rundingan antara dua kelab itu ditolak persekutuan itu kelmarin.
“Tiada apa yang berlaku secara rasmi kerana kedua-duanya tidak berada di sini,” kata jurucakap TFF, Turker Tozar.
“Hiddink bercuti ketika ini dan presiden juga bercuti selama seminggu. Tiada apa boleh berlaku ketika ini.
Menurut Tozar, laporan yang menyatakan bahawa TFF dan Chelsea sudah pun bersetuju untuk tawaran dengan bayaran ganti rugi buat Hiddink juga tidak benar.
“Hiddink masih pengurus kami dan dia mempunyai kontrak sehingga 2012,” katanya.
Mark Hughes dan Harry Redknapp turut dikaitkan dengan jawatan itu, dengan Hughes dikatakan mempunyai peluang lebih cerah selepas meninggalkan Fulham minggu lalu.
sumber:-myMetro
0 Response to "Lupakan Chelsea"
Post a Comment